298 sekolah daerah Petaling ditutup
2 min readPUTRAJAYA: Kesemua 298 sekolah di kawasan Petaling, Selangor akan ditutup mulai esok hingga 25 Oktober ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan berkata, ia berikutan peningkatan kes Covid-19 di daerah berkenaan yang telah disahkan sebagai zon merah oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurut kenyataan itu, bilangan sekolah itu merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM serta sekolah swasta yang berdaftar dengan kementerian.
Katanya, senarai sekolah yang ditutup akan dikemaskini dari semasa ke semasa dan akan dimuat naik di portal KPM di www.moe.gov.my dan di platform media sosial rasmi kementerian untuk rujukan ibu bapa, penjaga dan warga sekolah.
Bagaimanapun, jelas kenyataan itu, bagi kebanyakan sekolah yang kini sedang melaksanakan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekolah yang terlibat dengan penutupan boleh menjadualkan semula peperiksaan ini ke suatu tarikh yang bersesuaian kelak.
“Sekolah yang mempunyai asrama termasuk Kolej Vokasional juga ditutup. Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang,” katanya di sini hari ini.
Kata kenyataan itu, murid-murid yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan Kolej Vokasional sepanjang tempoh penutupan sekolah akan berada di bawah penjagaan warden asrama.
Katanya, keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah.
“Dalam tempoh penutupan sekolah ini, pengetua dan guru besar akan memastikan guru-guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid.
Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM, www.moe.gov.my.
“Dalam hal ini, KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta sentiasa bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan
KKM. Sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah bagi daerah-daerah lain akan dibuat dari semasa ke semasa,” katanya. -UTUSAN
sumber : https://www.utusan.com.my/berita/2020/10/298-sekolah-daerah-petaling-ditutup/