Berita

Jakarta bergolak, Jokowi diam

1 min read

JAKARTA: Bantahan terhadap Undang-Undang Cipta Kerja menyaksikan ibu kota Indonesia terus bergolak hari ini dengan dianggarkan ribuan pekerja dan mahasiswa memenuhi jalan-jalan utama di sekitar Jakarta.

Penunjuk perasaan menyasarkan beberapa kawasan utama termasuk Istana Presiden dan Kompleks Dewan Perwakilan Rakyat di Jakarta Pusat.

Lapor CNN Indonesia, ratusan anggota keselamatan ditempatkan di sekitar Istana Presiden serta kawasan berhampiran.

Para anggota keselamatan dilengkapi dengan gas pemedih mata dan meriam air yang bakal digunakan jika tunjuk perasaan bertukar agresif.  Kawat berduri turut diletakkan di kawasan tumpuan bagi mengelak kemaraan penunjuk perasaan.

Namun, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dijangka tidak berada di Istana Presiden kerana mengadakan lawatan ke Palangkaraya, Kalimantan Tengah.

Dalam pada itu, kawalan ketat juga dilakukan di Kompleks Dewan Perwakilan Rakyat dengan beberapa jalan utama ditutup.

Selain itu, polis turut mengarahkan konvoi bermotor dari Bekasi menuju ke Jakarta untuk pulang semula ke tempat masing-masing.

Konvoi itu dipercayai ingin menyertai demonstrasi membantah Cipta Kerja yang diadakan secara besar-besaran di bandar raya ini.

Sejak Isnin lalu, beberapa siri protes diadakan di seluruh negara sehingga ada penunjuk perasaan cedera berikutan bertempur dengan pasukan keselamatan.

Kebanyakannya membantah undang-undang omnibus itu dilaksanakan kerana didakwa menafikan banyak faedah serta kepentingan untuk golongan pekerja.

Sementara itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) sehingga kini masih mendiamkan diri berhubung siri protes yang diadakan di seluruh negara bagi membantah pelaksanaan undang-undang tersebut.

sumber : https://www.utusan.com.my/terkini/2020/10/jakarta-bergolak-jokowi-diam/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. Manjungfm.com | Newsphere by AF themes.