Berita

Kluster Sofi : 35 pelajar dan 3 kakitangan STIAS didapati positif COVID-19

2 min read

SEREMBAN: Seramai 38 individu lagi membabitkan, 35 pelajar dan 3 lagi kakitangan Sekolah Tinggi Islam As-Sofa (STIAS) yang beroperasi di Jalan Bunga Tanjung 1/1, Taman Perindustrian Senawang dekat sini, disahkan positif COVID-19.

Pengerusi Pengelola STIAS Senawang, Abdullah Abdol Razak yang mengesahkan perkara itu berkata, pertambahan baharu bilangan mereka yang positif COVID-19 itu adalah hasil ujian saringan yang baharu diperoleh.

“Kami ingin memaklumkan bahawa keputusan lanjut hasil ujian saringan yang dilakukan mendapati, terdapat pertambahan baharu seramai 38 individu disahkan positif COVID-19.

“Keputusan ini diperoleh hasil laporan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) kepada pihak sekolah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan rasmi Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan Kluster SOFI melibatkan 102 kes positif Covid-19 .

Bermula 21 Oktober lalu, STIAS ditutup selama 14 hari susulan seorang pelajar sekolah berkenaan disahkan positif COVID-19.

Abdullah berkata, pihaknya sudah mengambil pelbagai langkah dan tindakan yang berpandukan nasihat pihak KKM dengan menempatkan pelajar positif di bilik khas.

Beliau berkata, mereka diasingkan daripada pelajar dan guru yang masih menunggu keputusan ujian saringan manakala segala kemudahan harian mereka turut diasingkan.

“Pelajar harian yang tidak menetap di asrama juga telah diarahkan untuk menjalani kuarantin di sekolah, sementara menunggu keputusan ujian saringan bagi mengelakkan jangkitan ini tersebar ke luar kawasan sekolah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya ingin merakamkan penghargaan kepada pengurusan Yayasan Sofa dan Kumpulan Pendidikan Muhammadiah (MUTIM), yang banyak membantu dalam memastikan kebajikan pelajar dan guru terjaga.

“Di samping memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi untuk semua warga yang sedang dikuarantin, yayasan dan MUTIM juga turut mengambil inisiatif dengan menghantar bekalan makanan kepada ahli keluarga warga kerja sekolah yang sedang dikuarantin di rumah masing-masing,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan terus mengikuti segala langkah yang disyorkan KKM dan akan sentiasa mematuhi segala arahan pihak berkuasa dengan mengambil langkah penjagaan lebih ketat untuk mengelak penyebaran wabak ini.

Sepanjang tempoh kuarantin ini katanya, pihak sekolah terus menyusun rutin harian pelajar di mana mereka akan solat secara berjemaah dengan mematuhi SOP penjarakan fizikal, mengulang hafalan al-Quran dan mengulangkaji pengajian akademik mereka di tempat masing-masing -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. Manjungfm.com | Newsphere by AF themes.