Berita

Shuib, Sarah tak ditahan reman

2 min read

KUALA LUMPUR: Pelawak, Shuib Sepahtu dan isteri, Siti Sarah Raissuddin tidak ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti dakwaan yang tular dalam media sosial.

Peguamnya, Muhammad Fadhli M Sutris dari Fadhli Sutris & Associates menafikan dakwaan berkenaan.

Katanya, Shuib dan Siti Sarah hanya dipanggil untuk memberikan keterangan, bukan ditahan reman atau ditangkap.

“Saya selaku peguam mewakili Shuib dan Siti Sarah ingin membuat penjelasan mengenai isu membabitkan anak guam yang dipanggil oleh SPRM, Khamis lalu.

“Saya harus menjawab berita tidak sahih dan spekulasi yang tular dalam media sosial serta media cetak sejak kehadiran anak guam di pejabat SPRM.

“Sebarang kenyataan mengenai kehadiran dan sebab mereka dipanggil memberi keterangan tidak boleh didedahkan buat masa ini, memandangkan masih dalam peringkat siasatan SPRM. Kenyataan mengenai isu ini juga boleh mengganggu siasatan.

“Ia juga sudah dijelaskan oleh pihak syarikat pengurusan, Indigital Music menerusi siaran media yang diedarkan,” katanya menerusi satu kenyataan yang diedarkan, petang ini.

Muhammad Fadhli berkata, pihaknya sudah menasihatkan anak guamnya dan syarikat pengurusan supaya tidak mengulas sebarang kenyataan.

“Perkara ini amat penting bagi mengelakkan gangguan terhadap siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM.

“Saya juga ingin mengesahkan anak guam saya tidak pernah ditahan reman oleh SPRM mahupun terdapat permohonan reman dibuat ke atasnya. Kehadiran Shuib di pejabat SPRM hanya untuk memberi keterangan sahaja.

“Anak guam saya sudah memberikan kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang diambil keterangan. Untuk makluman, rakaman keterangan Shuib diambil dan selesai pada hari yang sama. Shuib kemudiannya dibenarkan pulang selepas selesai proses berkenaan, manakala kehadiran Siti Sarah pula untuk menemani suaminya,” katanya.

Beliau berkata, tiada tangkapan mahupun permohonan reman dibuat terhadap kedua-dua anak guam seperti yang dilaporkan beberapa media.

“Semua kenyataan yang tular tidak benar sama sekali.

“Ingin ditekankan sekali lagi kehadiran anak guam saya hanya membantu proses siasatan SPRM. Anak guam saya memberi kerjasama yang baik dalam membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, BH Online melaporkan pasangan selebriti dipanggil SPRM bagi membantu siasatan dipercayai berkaitan kes pengubahan wang haram.

Difahamkan, pelawak popular itu dipanggil SPRM bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes pengubahan wang haram mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM 2001. Anggota kumpulan Sepahtu itu disoal siasat selama 23 jam.

sumber : https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2020/10/737999/shuib-sarah-tak-ditahan-reman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. Manjungfm.com | Newsphere by AF themes.