British Airways sambung semula penerbangan ke KL
2 min readKUALA LUMPUR: British Airways menyambung semula penerbangan ke Kuala Lumpur semalam selepas enam bulan terhenti.
Syarikat penerbangan itu akan mengendalikan empat penerbangan seminggu dari Kuala Lumpur, memberikan pelanggan di Malaysia pilihan penerbangan yang selesa bagi mereka yang ingin melakukan perjalanan terus ke United Kingdom (UK) atau laluan penerbangan lain.
Ketua Jualan bagi Asia Pasifik dan Asia Barat British Airways, Moran Birger berkata syarikat penerbangan itu akan membawa semua pelanggannya ke London dan laluan penerbangan lain dalam rangkaian penerbangannya sekarang.
Bagaimanapun, ia tertakluk kepada sekatan perjalanan udara dan larangan kemasukan serta sekatan sambungan penerbangan, dokumen yang diperlukan dan syarat kemasukan diperlukan.
Beliau berkata, pelanggan boleh membuat tempahan secara langsung dengan British Airways dengan melayari laman web, ba.com atau dengan menghubungi ejen pelancongan mereka.
“Setelah sekian lama keadaan ketidakpastian yang disebabkan oleh pandemik COVID-19 di peringkat global, kami gembira dapat menyediakan empat penerbangan dalam seminggu dari Kuala Lumpur ke London Heathrow, United Kingdom (UK).
“Kami tahu ramai pelanggan di Malaysia telah menunggu untuk bertemu semula dengan orang yang tersayang atau melakukan urusan perniagaan.
“Justeru, penerbangan ini memberi peluang kepada mereka melakukannya menerusi perkhidmatan penerbangan disediakan British Airways,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebagai tambahan, sebagai pencegahan terhadap penularan COVID-19, British Airways telah memperkenalkan pelbagai langkah untuk memastikan keselamatan pelanggannya dan meminta pelanggan untuk mematuhi langkah baharu ini bagi kesejahteraan semua orang yang melakukan perjalanan terbabit.
Ini termasuk daftar masuk secara dalam talian, memuat turun pas masuk untuk ke balai pelepasan dan mengimbas sendiri pas masuk mereka di pintu pelepasan lapangan terbang.
Mematuhi penjarakan fizikal dan menggunakan cecair pembasmi kuman yang disediakan di lapangan terbang dan memakai pelitup muka pada setiap masa selain membawa bekalan pelitup muka mencukupi untuk menggantikannya setiap empat jam untuk penerbangan jarak jauh.
Pelanggan juga diminta untuk tidak melakukan perjalanan udara jika mereka mempunyai gejala COVID-19, manakala kru kabin pula telah diarahkan supaya memakai peralatan pelindung diri dan perkhidmatan menyediakan makanan cara baharu akan mengurangkan masa berinteraksi dengan pelanggan.
Pelanggan juga mesti memastikan bahawa mereka mempunyai semua yang mereka perlukan termasuk bagasi kabin sebelum berlepas dan sekiranya boleh, mereka diminta meletakkan bagasi kabin di bawah tempat duduk di hadapan masing-masing.
-BERNAMA
sumber : https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2020/10/738302/british-airways-sambung-semula-penerbangan-ke-kl