Mior Faridalathrash Ketua Polis Perak Baharu
2 min readKUALA LUMPUR – Sembilan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat dalam pertukaran jawatan berkuat kuasa 21 Disember depan.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad dalam kenyataannya memaklumkan Datuk Mior Faridalathrash Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, dilantik sebagai Ketua Polis Perak yang baharu dengan memangku pangkat Komisioner Polis.
Pertukaran lain melibatkan Ketua Cawangan Khas Perak, Datuk Mazlan Santarai dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
Manakala Datuk Mustafa Khan Abdul Samat, Ketua Penolong Pengarah Kepolisan Komuniti, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) JPJKK Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
Selain itu, Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Korporat/Kewangan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk S. Sasikala Devi dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Siasatan) JSJK Bukit Aman.
Pertukaran lain turut menyaksikan Penolong Pengarah E2, Cawangan Khas Bukit Aman Senior Asisten Komisioner, Shazeli Kahar dilantik sebagai Ketua Cawangan Khas Perak.
Ketua Pusat Pengajian Sains Penyiasatan dan Pendakwaan, Maktab PDRM SAC R. Munusamy dilantik sebagai Senior Asisten Komisioner Bahagian Pentadbiran Maktab PDRM.
Asmawati berkata Pegawai Turus E1B5, Cawangan Khas Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohamad Mashdik Yahya dilantik sebagai Penolong Pengarah E2 Cawangan Khas Bukit Aman dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.
Pertukaran lain turut melibatkan Asisten Komisioner Pentadbiran Jabatan Pengurusan Selangor, Mohammad Abd Hamid dilantik sebagai Ketua Pusat Pengajian Sains Penyiasatan dan Pendakwaan, Maktab PDRM dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Zaki Ashar dilantik sebagai Penolong Pengarah Narkotik (Risikan) Zon 1, JSJN Bukit Aman. – Bernama