PRK tidak boleh dielak walaupun COVID-19 meningkat
3 min readKUALA LUMPUR: Pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi berikutan kekosongan kerusi susulan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong, perlu diadakan walaupun negara kini berhadapan dengan peningkatan mendadak kes COVID-19.
Ini kerana perkara itu termaktub dalam Perlembagaan negara.
Pakar perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata proses demokrasi perlu berjalan seperti biasa melainkan jika diisytiharkan darurat mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh yang demikian, speaker tetap memaklumkan kekosongan dan ia perlu diisi dalam masa 60 hari melalui satu pilihan raya kecil seperti yang ditetapkan dalam perlembagaan,” katanya mengulas keperluan mengadakan PRK Batu Sapi dalam suasana peningkatan kes COVID-19 ketika ini.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyarankan kerajaan mencari jalan mengikut undang-undang yang ada untuk menangguhkan PRK Parlimen Batu Sapi dalam situasi penularan COVID-19 ketika ini.
Vui Keong, 60, yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) meninggal dunia pada jam 11.50 pagi Sabtu lalu di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu, Sabah.
Bagaimanapun, Muhammad Fathi yang juga Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkata, PRK boleh dielakkan jika ada hanya ada calon tunggal yang bertanding melalui kesepakatan dicapai antara parti politik di negara ini.
Namun, katanya calon tunggal itu juga tidak pasti menang tanpa bertanding dengan kehadiran calon Bebas.
“Membentuk kesepakatan untuk tiada pertandingan adalah sukar,” katanya mencadangkan supaya PRK yang bakal diadakan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) kempen.
“Saya dapati ada banyak ruang untuk menambah baik terutama apabila kes COVID-19 yang memuncak sekarang. Selain itu, aspek penguatkuasaan juga perlu tegas.
“Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah, banyak pelanggaran yang tidak diambil tindakan termasuklah apabila penyokong bersesak-sesak berkerumun calon dan pemimpin. Begitu juga apabila kehadiran orang ramai pada kempen melebihi had yang dibenarkan. Tiada penguatkuasaan menyeluruh,” katanya.
Seorang lagi pakar perlembagaan, Profesor Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata, berdasarkan Perlembagaan Negara, jika ada kekosongan perlu diadakan pilihan raya dalam tempoh ditetapkan oleh perlembagaan dan undang-undang.
“Saya rasa tidak ada pilihan lain di bawah undang-undang kecuali jika pilihan raya umum akan berlangsung tidak lama lagi kerana Parlimen telah hampir sampai tempoh hayat lima tahun selepas pilihan raya yang lalu. Namun, Parlimen belum cukup matang lagi, baru masuk tahun ketiga Jun nanti,” katanya.
Beliau menjelaskan mengikut undang-undang memang tiada jalan lain boleh diambil selain perlu mengadakan PRK seperti termaktub dalam Perkara 54 yang menyatakan bahawa kekosongan di luar jangka di Dewan Rakyat hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari setelah speaker memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“PRK Batu Sapi tidak dapat dielakkan, justeru SOP lebih ketat perlu diambil dan semua pihak mengambil iktibar dan belajar daripada apa yang berlaku ketika PRN Sabah bulan lalu,” katanya.
Sementara itu, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, pula menjelaskan berdasarkan Perlembagaan, apabila berlaku kekosongan satu-satu kawasan ia perlu diisi dalam tempoh 60 hari selepas pemakluman rasmi diumumkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
Justeru, katanya bagi mengisi kekosongan itu perlu diadakan PRK walau dalam apa juga situasinya kecuali negara ketika itu diisytiharkan darurat.
Katanya, penetapan PRK selepas kekosongan kerusi bukan budi bicara SPR, sebaliknya termaktub dalam Perlembagaan yang mana jika ada kekosongan perlu diisi segera seperti tempoh yang ditetapkan.
sumber : https://www.bharian.com.my/berita/politik/2020/10/738319/prk-tidak-boleh-dielak-walaupun-covid-19-meningkat