Tiada permit untuk ternak ikan pemangsa baung ekor merah
2 min readTELUK INTAN – Jabatan Perikanan Perak tidak pernah mengeluarkan sebarang permit untuk membawa masuk ikan baung ekor merah atau nama saintifiknya Hemibagrus Wyckioides ke negara ini bagi tujuan penternakan ikan dalam sangkar.
Pengarah Perikanan Perak, Zaki Mokri berkata “Setakat ini tiada permit dikeluarkan untuk membela ikan tersebut. Namun sekiranya terdapat penternak yang ingin membelanya perlu merujuk kepada jabatan terlebih dahulu.”
“Jika ada kebenaran pun mungkin diternak dalam tangki, namun proses itu bukan mudah kerana kita perlu membuat penilaian yang ketat terhadap sistem penternakannya dan pembuangan sisa air,” katanya.
Menurut beliau lagi “ikan pemangsa yang dikatakan berasal dari Sungai Mekong, Vietnam itu mampu merosakkan ekosistem sungai dan sangat berisiko kepada sumber sungai sekiranya terlepas.”
Pada 29 Mac lalu, dianggarkan lebih 250 sangkar sebuah syarikat penternakan ikan di Teluk Intan pecah akibat dihanyutkan arus deras Sungai Perak.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 4 petang itu menyebabkan beratus ribu ikan pelbagai jenis seperti talapia merah, patin, baung dan jelawat putih terlepas ke Sungai Perak.
Ikan baung ekor merah hasil pancingan di Sungai Perak di Kampung Sungai Buaya, Kampung Gajah.
Turut dilaporkan terlepas adalah spesies ikan baung ekor merah sebanyak 30 tan atau saintifiknya Hemibagrus Wyckioides yang dikatakan berasal dari Sungai Mekong, Vietnam.
Mengulas lanjut, Zaki berkata, siasatan awal dijalankan tidak menolak kemungkinan pemilik sangkar berkenaan menternak ikan jenis itu secara haram bersama ikan tempatan lain.
“Kita sudah melakukan lawatan dan pemantauan di lokasi dan akan menjalankan siasatan lanjut mengenainya sebelum mengambil tindakan susulan lain,” katanya.
Beliau berkata, dalam kejadian minggu lalu, tali pengikat sangkar di situ putus menyebabkan ratusan sangkar ikan hanyut dengan sebahagiannya pecah mengakibatkan ikan mati dan terlepas ke sungai.
“Ikan ternakan ini diberi makan palet, jadi ia agak jinak dan tidak akan pergi terlalu jauh.
Jabatan Perikanan turut menyarankan kepada penduduk untuk memancing atau menjala terus ikan di situ terutama dari jenis baung ekor merah supaya spesies ini tidak membiak dalam perairan sungai.
Sumber : Sinar Harian