Kebangkitan saat akhir Kedah Darul Aman (KDA) FC cetus kebimbangan – Hafizul
2 min readKUALA LUMPUR: Penjaga gol Perak FC, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy mengakui pasukannya perlu berwaspada dengan kemampuan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang dilihat boleh menjaringkan gol pada bila-bila masa terutamanya pada minit akhir permainan.
Perkara itu menjadi perhatian Hafizul selepas melihat skuad Lang Merah sentiasa menjadi ‘cencaru makan petang’ apabila pernah mengecewakan Selangor FC (SFC) 2-1 menerusi dua jaringan dalam tempoh 10 minit terakhir oleh Kpah Sherman serta Tchetche Kipre.
Selain itu, mereka juga pernah mengikat Penang FC 1-1 melalui gol penyamaan pada minit-86 oleh Kpah Sherman selain kemenangan 3-1 ke atas PJ City FC, 17 Mac lalu.
Tambahnya, KDA FC mempunyai banyak pilihan di jentera serangan selain Kpah dan Tchetche apabila turut dibantu Fayadh Zulkifli dan Azamuddin Akil yang sentiasa memberikan kekuatan tambahan pada 15 minit terakhir permainan.
“Kedah sememangnya lawan yang boleh menjaringkan gol pada tempoh lewat permainan dan kami masih ingat tewas kepada mereka selepas melakar kebangkitan daripada ketinggalan dua gol.
“Namun mereka masih berjaya bangkit menjaringkan gol di babak kedua dan kami tewas 2-3. Jadi aspek ini perlu diberikan perhatian di mana kami harus meningkatkan fokus sehingga wisel terakhir permainan.
“KDA FC pasti datang dengan gaya permainan menyerang kerana mereka mahu mengejar kedudukan teratas bagi meneruskan saingan merebut kejuaraan dan kita perlu perbaiki kesilapan lalu jika mahu meraih tiga mata,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih The Bos Gaurus, Chong Yee Fatt mengesahkan dia kehilangan empat pemain termasuk ketua pasukan, Shahrul Saad yang masih belum pulih daripada kecederaan hamstring selain Sergio Aguero, Firdaus Saiyadi dan Farhan Roslan.
Namun, di sebalik kebimbangan untuk berdepan KDA FC khususnya di bahagian pertahanan, Yee Fatt tetap percaya anak buahnya mampu memberikan saingan dalam misi meraih keputusan positif di laman sendiri.
“Memang tidak dinafikan skuad ini ada masalah dengan konsistensi. Tetapi sikap pemain yang sentiasa positif dan komitmen yang ditunjukkan dalam tiap perlawanan membuatkan saya berpuas hati setakat ini,” katanya.
Sumber : Berita Harian