Malaysia dibimbangi ikut jejak negara dilanda Covid-19 yang serius
2 min readPUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan melahirkan kebimbangan susulan jangkaan berlakunya lonjakan kes Covid-19 seperti situasi di luar negara susulan penularan varian baharu virus SARS-CoV-2 terutamanya beberapa Variant of Concern (VOC) dalam komuniti di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana beberapa VOC mempunyai kadar penularan lebih cepat hingga boleh mewujudkan jumlah kematian lebih tinggi.
Katanya, orang ramai dirayu melakukan kawalan pergerakan kendiri terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian jangkitan di negara ini biarpun kementerian meningkatkan kapasiti sistem perkhidmatan kesihatan negara.
“Ia bermula dengan diri kita sendiri. Kawalan pergerakan kendiri boleh dilakukan dengan duduk sahaja di rumah, tidak keluar jika tiada keperluan penting dan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan terutama jika perlu keluar rumah atas apa-apa urusan penting.
“Majikan juga digalakkan untuk memberi kebenaran kepada pekerja bekerja dari rumah dan mengehadkan bilangan pekerja yang hadir ke pejabat pada satu-satu masa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, kebanyakan hospital kerajaan mahupun swasta serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negara hampir mencecah kapasiti maksimum.
Katanya, Malaysia negara masih kekal merekodkan kes harian melebihi empat digit dengan kes aktif melebihi 40,000 kes.
Lebih membimbangkan, semakin banyak kes positif yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan alat bantuan pernafasan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
“Jumlah kes kematian harian yang dilaporkan kepada CPRC Kebangsaan semakin meningkat saban hari. Peningkatan kes secara mendadak ini telah memberi tekanan hebat kepada sistem perkhidmatan kesihatan negara dan menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memutuskan rantaian jangkitan.
“Rakyat Malaysia adalah barisan hadapan yang amat penting pada ketika ini dan diharap untuk terus patuh duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar. Kita tiada pilihan lagi, kita mesti jaga kita,”katanya.
Terdahulu, Dr. Noor Hisham memaklumkan Malaysia terus merekodkan peningkatan semula kes positif baharu Covid-19 mencecah 5,000 kes iaitu 4,865 kes manakala kes sembuh menurun kepada 3,497 kes berbanding semalam, 3,990 kes.
“Sebanyak 47 kematian dan 19 kluster direkodkan manakala kes aktif menunjukkan peningkatan iaitu 44,827 kes.
“Selain Selangor terus menjadi negeri tertinggi yang merekodkan peningkatan kes iaitu 1,743 kes, sebanyak 531 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 277 kes memerlukan bantuan pernafasan bagi kes seluruh negara,” katanya. – UTUSAN