Berita

Poster fitnah Saarani, Pemuda UMNO Perak lapor polis

1 min read

MOHD. Ariff Abdul Majid (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung poster yang memfitnah Menteri Besar Perak di IPD Kuala Kangsar, Perak, hari ini. Foto Utusan Malaysia

KUALA KANGSAR: Pemuda UMNO Perak membuat laporan polis terhadap aktivis, Fahmi Redza yang  memuat naik poster Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad dalam akaun media sosial miliknya berkaitan isu pemberian telefon pintar berkualiti rendah kepada pelajar kurang berkemampuan di negeri ini.

Ketuanya, Mohd. Ariff Abdul Majid berkata, keterangan gambar pada poster berkenaan  iaitu ‘kita dah bagi makan sardin, jangan gatal nak mintak ayam pulak’ adalah  fitnah dan tidak pernah disebut oleh Saarani.

Menurutnya, pihaknya telah merujuk rakaman video di Facebook Saarani bagi mendapatkan kepastian berhubung perkataan yang terdapat pada poster tersebut.

“Berdasarkan video sidang akhbar, Menteri Besar cuma memberi analogi mengenai sumbangan telefon pintar oleh Yayasan YTL kepada kerajaan negeri untuk disumbangkan kepada pelajar kurang berkemampuan.

“Saarani hanya beranalogi untuk menggambarkan adalah tidak manis sekiranya kerajaan negeri menolak sumbangan Yayasan YTL itu kerana ia diberi secara percuma memudahkan pelajar mengikuti kelas secara atas talian,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar di sini hari ini.

Menurutnya, poster ituadalah  fitnah dan secara sengaja dibuat untuk menimbulkan kebencian terhadap Saarani.

“Poster berkenaan memberi gambaran menteri besar bersikap angkuh dalam isu pemberian telefon pintar kepada pelajar kurang berkemampuan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mahu polis menyiasat Fahmi yang memuatkan naik poster berkenaan di Facebook dan Twitter milik aktivis itu.

Saarani dikecam berikutan kenyataannya semalam iaitu ‘lebih baik ada daripada tiada’ berhubung isu pemberian telefon pintar percuma yang dikatakan berkualiti rendah dan tidak  memenuhi piawaian Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). – UTUSAN ONLINE 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. Manjungfm.com | Newsphere by AF themes.