Berita

Seri Paduka dukacita umat Islam tidak dapat raikan Aidiladha

1 min read

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam di negara ini mahupun di luar negara.

Bagaimanapun, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa dukacita kerana buat kali kedua umat Islam di negara ini tidak dapat meraikan hari yang bermakna itu seperti kelazimannya akibat pandemik Covid-19.

“Seri Paduka berdua menzahirkan harapan agar umat Islam di negara ini terus cekal dan bersabar serta bersyukur kerana masih lagi diberi kesihatan serta kekuatan untuk menyambut Aidiladha pada tahun ini dalam suasana sederhana bersama keluarga tercinta.

“Seri Paduka merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada petugas barisan hadapan di atas kegigihan, komitmen dan pengorbanan berterusan tanpa mengira masa serta penat lelah merawat pesakit-pesakit Covid-19 dan dalam usaha-usaha memerangi pandemik itu sejak tahun lalu,” titah Seri Paduka berdia dalam kenyataan rasmi menerusi akaun Facebook milik Istana Negara.

Justeru, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menyeru seluruh umat Islam di negara ini dalam meraikan hari yang bermakna itu tidak alpa dan berdisiplin dalam kawalan kendiri serta mematuhi semua perintah dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Seri Paduka turut mengambil kesempatan ini menyeru umat Islam untuk bersama mendoakan agar sentiasa di bawah lindungan Allah, dijauhi dari sebarang musibah dan pandemik Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.

Sumber : Utusan Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. Manjungfm.com | Newsphere by AF themes.