Hishamuddin ambil alih tugasan pengumuman harian PPN mulai esok
2 min readPUTRAJAYA: Setelah lebih setahun, empat bulan dan enam hari memikul peranan, esok tugasan rutin setiap hari menyampaikan laporan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bakal diambil alih Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berterima kasih kepada pihak yang terlibat sepanjang berkhidmat menyampaikan laporan harian berkenaan.
“Sebagai Menteri Kluster Keselamatan yang baharu, maka beliau akan mengambil alih tugas yang saya laksanakan sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan terakhirnya hari ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik beliau yang juga Naib Presiden UMNO ke jawatan nombor dua itu pada 7 Julai lalu dengan kekal sebagai Menteri Pertahanan, sementara Hishammuddin yang baru sahaja dilantik sebagai Bendahari Agung Barisan Nasional pada tahun lalu itu, turut kekal dengan memegang portfolio Menteri Luar Negeri.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, sejak 20 Mac tahun lalu, beliau memikul tanggungjawab memaklumkan berkaitan Task Force Operasi Pematuhan.
“Semua kenyataan media secara harian termasuk penguatkuasaan undang-undang di bawah Akta 342 dikeluarkan saya setiap hari sejak itu,” jelasnya mengimbau pengalaman tersebut.
Beliau juga perlu memberi penjelasan kepada rakyat mengenai situasi semasa keselamatan negara ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan kemudian Pelan Pemulihan Negara.
Ketika peringkat awal, beliau setiap hari muncul dalam sidang akhbar secara langsung di televisyen selain laporan pandemik Covid-19 disampaikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Ramai penonton turut setia menantikan program itu bukan kerana kandungan laporan yang hendak disampaikan, namun mereka lebih mengulas corak unik baju batik dikenakan beliau.
Bagaimanapun penampilan Ismail Sabri yang mesra disapa sebagai ‘Pak Long’ kemudian mula berkurangan susulan kekangan masa disebabkan tuntutan tugas rasmi di luar ibu negara.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada sahabat-sahabat dalam kalangan petugas media yang sentiasa melaporkan perkembangan dari masa ke semasa.
Sumber : UTUSAN ONLINE