Dakwaan Pemuda MCA dan MIC disisih,Saarani bakal bertemu Menteri Besar
2 min readIPOH: Barisan Nasional (BN) Perak akan berbincang dengan kerajaan kerajaan negeri mengenai dakwaan Pemuda MCA dan MIC kononnya kedua-dua parti itu dianaktirikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri perlu memberi perhatian kepada suara yang menyatakan harapan dan perasaan mereka terhadap kerajaan.
Menurutnya, beliau sendiri akan menyuarakan perkara itu dalam mesyuarat Exco minggu hadapan.
“Pada saya apa yg ditimbulkan oleh MCA dan MIC itu adalah penilaian, rungutan atau rintihan kepada apa yang mereka rasa.”
“Kita perlu berusaha untuk mendengar dan melayani walaupun kita tahu, kita tak boleh memuaskan semua orang tetapi kita boleh meminimakan perasaan tidak puas hati, itu perlu dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penghargaan kepada sukarelawan PPE Tahun 2020 di sini, hari ini.
Khamis lepas, Ketua Pemuda MCA dan MIC mendakwa Menteri Besar Perak Ahmad Faizal telah mengenepikan dan menganaktirikan kedua-dua parti tersebut dalam kerajaan negeri.
Ketua Pemuda MCA Daniel Wa Wai How dan Ketua Pemuda MIC, S Jayaganes dalam kenyataan bersama berkata, mereka kesal dan hampa dengan Menteri Besar itu yang didakwa langsung tidak mengiktiraf dua parti komponen BN itu.
Saarani berkata, mana-mana rakyat Malaysia berhak memberi pandangan yang mereka fikirkan berasas terhadap kerajaan, sama ada mereka berpuas hati atau tidak.
“Ia bukan perkara luar biasa sebab itu setiap kerajaan di Malaysia hendaklah memberikan perkhidmatan yang kalau boleh dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat.
“Walaupun ia satu perkara mustahil sebab kita tidak dapat memenuhi kehendak semua orang, tetapi pada masa sama ia perlu meminimakan perasaan tidak puas hati rakyat itu,” ujarnya.
Sebab itu, katanya, sebagai Pengerusi BN Perak, beliau perlu berbincang supaya kerajaan negeri dapat memberikan perhatian kepada kelompok berkenaan.
Dalam pada itu Saarani berkata, kenyataannya minggu lalu mengenai rasa kecewa terhadap Ahmad Faizal, tidak menjejaskan hubungan baik antara UMNO dan Bersatu.
Menurutnya, bagi membentuk sebuah kerajaan yang harmoni, semua pihak perlu saling tegur menegur antara satu sama lain jika berlaku kesilapan dan bersedia untuk membetulkan kesilapan itu.