Empat direman palsu dokumen tender lebih RM3.7 juta
1 min readIPOH: Empat individu ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) selama enam hari bagi membantu siasatan kes memalsukan dokumen untuk mendapatkan projek tender kebersihan bernilai lebih RM3.7 juta sejak 2017 hingga tahun lalu.
Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus mengeluarkan perintah reman hari ini, selepas membenarkan permohonan SPRM menahan reman dua lelaki dan dua wanita berusia 41 hingga 49 tahun.
SPRM Perak dalam satu kenyataan berkata, empat individu berkenaan ditahan di sekitar Taiping dan Bandar Baharu, Kedah kira-kira jam 8 pagi semalam.
Katanya, kes itu berkaitan dua syarikat, dengan masing-masing membabitkan tender bernilai RM1.6 juta dan RM2.1 juta.
“Dua syarikat berkenaan didakwa menggunakan cop bank dan tandatangan pegawai bank palsu serta mengemukakan penyata akaun bank palsu bagi mendapatkan tender kebersihan bangunan dan kawasan di bawah jabatan kerajaan bagi tempoh 2017 hingga 2020,” kata kenyataan itu.
Sumber – Berita Harian