Gua Matsoorat bukan lokasi sebenar penggambaran
1 min readCYBERJAYA: Semakan FINAS mendapati Gua Matsoorat di Ipoh, Perak tidak tersenarai sebagai lokasi penggambaran sebuah produksi drama yang didakwa menyebabkan kerosakan fosil bersejarah dalam gua itu.
Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid, berkata siasatan terhadap Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) yang dikeluarkan kepada produksi itu mendapati senarai lokasi penggambaran tidak membabitkan gua.
“Tidak ada langsung yang menyebut boleh buat penggambaran dalam gua. Sekiranya berlaku pencerobohan ia dilakukan atas tindakan individu atau berkumpulan dan tidak tertakluk dalam syarat penggambaran,” katanya pada sidang media Majlis Anugerah Festival Filem Belia Antarabangsa Universiti LimKokWing (LKW) hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri Perak sedang menyiasat dakwaan fosil berusia jutaan tahun dan bahagian dinding di Gua Matsoorat didakwa dirosakkan ketika sebuah syarikat produksi drama menjalankan penggambaran.
Turut tular di laman sosial apabila pengguna Facebook mendedahkan terdapat kerosakan selepas penggambaran sebuah drama, selain mendakwa kru produksi membuang sampah merata-rata dengan perkongsian beberapa gambar menunjukkan kerosakan dan ukiran tajuk drama itu pada dinding gua.
Mengenai festival filem itu, ia adalah julung kali diadakan membabitkan 11 kategori serta disertai 18 negara termasuk Malaysia, China, India, Pakistan dan Syria.
Tiga kategori dimenangi pelajar Malaysia iaitu bagi Anugerah Pelakon Terbaik, Sim Yuan Wei bagi filem pendek The Chase, Anugerah Lakon Layar Terbaik dimenangi Siti Nuryshirah Mohd Anwar filem Penjara Seni manakala Anugerah Muzik Asal Terbaik dimenangi Logan Ganesh bagi filem Peace Drop.