Hina Permaisuri Agong: Pereka grafik Fahmi Reza ditahan
1 min readPETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan aktivis Fahmi Reza susulan hantaran dibuatnya mengenai Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Difahamkan Fahmi diberkas kira-kira pukul 7 malam tadi dirumahnya sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan penahanan Fahmi kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, menurut Mohamad Zainal, siasatan akan dijalankan pasukan penyiasat Bukit Aman.
“Dia ditahan di lokap IPD ini namun siasatan dilakukan oleh Bukit Aman,” katanya ketika dihubungi malam tadi.
Terdahulu, pengguna media sosial di Malaysia terkejut setelah Tunku Azizah Aminah menyahaktifkan akaun Istagram miliknya selepas tanda pagar #DengkiKe sohor kini dalam laman Twitter.
Tanda pagar itu merujuk kepada komen Permaisuri Agong di akaun Instagramnya, tidak lama sebelum akaun @airtangan_tunkuazizah dinyahaktifkan.
Dalam pada itu, tangkap layar komen yang dikongsi secara meluas itu disertakan keterangan tentang aktiviti petang Tunku Azizah di dapur bersama cef istana.
Seorang pengguna media sosial kemudian bertanya adakah tukang masak istana telah divaksin, yang kemudian dikatakan dijawab Tunku Azizah dengan “Dengki ke?”.
Susulan itu, Fahmi membuat hantaran menggunakan gambar Tunku Azizah dengan kapsyen ‘This is dengki ke?’ di Facebook yang dibuat sebagai gambar latar dalam aplikasi Spotify.
Hantaran yang dimuat naik Fahmi Reza di Facebook itu dikongsi semula lebih 700 pengguna laman sosial berkenaan.
Sumber : Utusan Online