‘Kerajaan Allah’ tulisan Lim Kit Siang, UMNO akan buat laporan polis
1 min readKuala Lumpur, 6 Julai 2021 – Tulisan terbaharu Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang di blognya berkenaan ‘Kerajaan Allah’ mendapat bantahan dari Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Titiwangsa kerana dilihat menghina Islam dan mengundang perbalahan antara kaum serta agama.
Ketua Pemuda Umno Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, tulisan Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu sebagai maklumbalas kepada kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri abdul Hadi Awang.
“Bagaimanapun respon beliau langsung tidak selari dengan kenyataan Abdul Hadi mengenai ‘Kerajaan Allah’.
“Abdul Hadi tidak pernah berkata kerajaan Malaysia hari ini adalah ‘Kerajaan Allah’ seperti mana yang cuba digambarkan Kit Siang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga menyifatkan tulisan tersebut sebagai menghina Islam, bertujuan mengelirukan orang ramai terhadap Islam dan boleh mengundang perbalahan antara kaum dan agama.
Nazir Hussin berkata, sangat jelas kenyataan Kit Siang ini bertujuan mewujudkan kebencian dan mengheret orang bukan Islam untuk mempermain dan menghina agama Islam.
“Mustahil selepas berpuluh tahun menjadi wakil rakyat, Kit Siang masih tidak memahami ayat-ayat mudah yang diungkapkan Presiden Pas itu.
“Pemuda Umno Titiwangsa menuntut Kit Siang memohon maaf secara terbuka dan memadam artikel itu bagi mengelak konflik perkauman dan agama ketika rakyat sedang tertekan dengan pandemik Covid-19,” katanya.
Katanya, satu laporan polis juga akan dibuat secepat mungkin bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya ke atas usaha mencetuskan ketidaktenteraman awam.