Berita

Minta bantuan, kita tidak bersendirian

2 min read

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan hampir seluruh daerah di Selangor dan Kuala Lumpur yang dilaksanakan kerajaan ter­nyata memberi kesan kepada mental orang ramai yang sudah begitu lelah berperang dengan Covid-19.

Keadaan pandemik yang langsung tidak menunjukkan tanda-tanda reda menyukarkan lagi kehidupan apabila semakin ramai diuji dengan kehilangan kerja dan rindu dengan ahli ke­luarga yang terpisah dek lara­ngan sekatan perjalanan.

Isu psikologi akibat situasi pandemik ini kian meruncing apabila berlakunya kes bunuh diri akibat tekanan melampau.

Bagaimana tahap tekanan yang dihadapi mereka sehingga mendorong untuk mencabut nyawa sendiri.

Menurut Pensyarah Kuliyyah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang juga pakar psikiatri, Dr. Rozanizam Zakaria, masalah mental semasa pandemik sudah banyak kali diperkatakan dan memerlukan pemahaman serta penyelesaian berbentuk kolektif.

“Isu kesihatan mental perlu diberi perhatian yang sewajarnya kerana tekanan berterusan akibat pelbagai faktor mendorong seseorang itu terfikir atau mula merencana tindakan bunuh diri.

“Faktor rasa keseorangan dan bebanan hidup apabila bergabung akan membawa kepada rasa putus asa yang berpanjangan dan boleh menyebabkan seseorang bertindak di luar kawalan,” katanya.

Faktor masalah kewangan, terpisah daripada kumpulan soko­ngan sosial dan keganasan rumah tangga jika diberi penekanan sewajarnya membolehkan sebahagian daripada punca asas masalah mental dibendung.

“Kerajaan dan mana-mana badan yang ingin membantu perlu berganding bahu bagi mencegah secara spesifik golo­ngan berisiko tinggi diserang masalah mental seperti mening­katkan capaian bantuan dan ra­watan yang bersifat jangka panjang.

“Kemurungan bukan sesuatu yang boleh dirawat dalam masa singkat, ia memerlukan rawatan berterusan termasuk ubat, terapi dan bantuan sokongan sosial,” jelasnya.
Pandemik secara tidak langsung menyumbang aspek psikologi dan sosial.

Misalnya, sekatan perjalanan secara berterusan menjadikan ramai individu terputus soko­ngan sosial, lantas menyebabkan ketidakstabilan emosi.

Bagi mereka yang benar-benar terjejas daripada segi kewangan pula, terdapat pelbagai inisiatif yang diwujudkan bagi mendapatkan bantuan.

Kibaran bendera putih mi­salnya bukan simbol sudah menyerah kalah, cuma mahu menyelamatkan jiwa yang sudah lelah.

Platform digital kitajaga.co antara yang meraikan kibaran bendera putih dengan menyalurkan bantuan secara terus kepada penerimanya.

Pengasasnya, Reza Razali berkata, menerusi platform itu, mereka yang memerlukan bantuan seperti wang dan susu bayi boleh memaklumkan di laman web itu berserta maklumat peribadi seperti alamat dan nombor telefon.

“Orang yang sudah hampir ‘lemas’ yang dikesan di laman web ini akan segera dibantu tanpa berfikir panjang. Menerusi inisia­tif ini, bantuan boleh disalurkan terus kepada penerima dengan segera memandangkan lokasi bendera putih akan dikesan komuniti setempat.

“Menerusi kitajaga.co juga, saya berharap lebih banyak masalah boleh diselesaikan de­ngan komuniti yang bekerjasama dengan bergantung kepada data di laman web,” kata Reza.

Sumber : K!Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. Manjungfm.com | Newsphere by AF themes.