Berita

Pencerobohan Gua Matsoorat : Perak panggil pakar, tuntut ganti rugi

2 min read

IPOH – Tular di media sosial sejak beberapa hari lalu mengenai sebuah syarikat produksi drama melakukan penggambaran di dalam Gua Matsoorat berhampiran Gua Lang dekat sini tanpa kebenaran pihak berautoriti.

Kru produksi terbabit bukan sahaja menceroboh masuk ke dalam gua berkenaan malah turut melakukan kerosakan pada dinding gua tersebut dan fosil berusia jutaan tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata “Kerajaan negeri berasa amat kesal dengan apa yang telah berlaku di satu daripada tapak yang sedang kami usahakan untuk diangkat sebagai geotapak yang baharu dalam Geopark Lembah Kinta,”

“Apabila (khazanah dan warisan negara) itu rosak, susah untuk dipulihara semula. Kerajaan negeri Perak akan mengambil tindakan tegas serta meminta ganti rugi daripada syarikat produksi drama berkenaan.” katanya.

“Bagaimanapun perkara (ganti rugi) ini masih dalam perbincangan sama ada untuk mengenakan penalti kepada syarikat produksi tersebut ataupun mereka harus membayar kos untuk memulihara semula tempat yang telah dirosakkan dan kami telah memanggil beberapa pakar untuk melihat dan menilai kerosakan terbabit,” katanya.

Terdapat bukti bahawa kru syarikat produksi berkenaan telah melakukan kerosakan selepas penggambaran sebuah drama. Mereka (kru produksi) membuang sampah merata-rata dengan perkongsian beberapa gambar menunjukkan kerosakan dan ukiran tajuk drama itu pada dinding gua.

Nolee Ashilin menyarankan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terlibat dalam kawasan khususnya yang memerlukan konservasi perlu mengambil tindakan yang lebih tegas dan kemas untuk memastikan perkara seperti ini tidak berlaku.

Menurutnya lagi, hasil semakan mendapati Syarikat Juita Viden Sdn Bhd hanya boleh menjalankan penggambaran di tapak luar kawasan gua berkenaan. Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah memberi kelulusan menjalankan penggambaran di sekitar bandar raya Ipoh mulai 20 Februari hingga 30 April ini.

Nolee Ashilin berkata, dua pengawal keselamatan ditempatkan 24 jam sehari bagi memantau dan mengawal di persekitaran gua berkenaan dan jumlah pengawal keselamatan akan ditambah bagi meningkatkan lagi kawalan keselamatan.

“Kejadian sedemikian perlu diambil iktibar oleh semua pihak kerana apa sahaja yang berkaitan dengan khazanah warisan tidak boleh dipandang ringan.” katanya.

Sumber -Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. Manjungfm.com | Newsphere by AF themes.