Penduduk Yahudi ceroboh Eviatar setuju pindah
2 min readBAITULMAQDIS: Penduduk Yahudi semalam bersetuju meninggalkan penempatan baru dicerobohi di kawasan Tebing Barat sehingga mencetuskan tunjuk perasaan selama berminggu-minggu oleh rakyat Palestin.
Ia susulan perjanjian dicapai dengan kerajaan Israel, yang disahkan oleh pemimpin penduduk dan Kementerian Dalam Negeri.
Bawah perjanjian itu, penduduk terbabit akan meninggalkan penempatan Eviatar dalam tempoh beberapa hari, namun kediaman bergerak mereka akan kekal dan tentera Israel bakal mendirikan pangkalan di kawasan berkenaan.
Pemimpin penduduk, Yossi Dagan, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Kementerian Pertahanan bersetuju mengkaji tuntutan tanah bagi menilai prospek penempatan yang diperakui pada masa depan.
Dagan berkata, perjanjian itu telah diluluskan oleh Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett; Menteri Pertahanan, Benny Gantz; dan Menteri Dalam Negeri, Ayelet Shaked.
Pejabat Shaked mengesahkan perjanjian itu, namun jurucakap kepada Bennett dan Gantz belum memberi komen, setakat ini.
Bulan lalu, kira-kira 50 keluarga Yahudi berpindah ke Eviatar dan mendirikan pondok, khemah serta karavan – yang melanggar undang-undang antarabangsa dan Israel – di tanah berhampiran Nablus di Tebing Barat yang diceroboh.
Seorang penduduk terbabit, Tzvi Succot, memberitahu AFP bahawa beliau menyokong perjanjian itu kerana percaya ia akan membawa kepada pewujudan penempatan Yahudi secara kekal pada akhirnya.
Susulan pencerobohan itu, rakyat Palestin di kawasan berdekatan, Beita, bertindak balas dengan melakukan bantahan waktu malam, membunyikan hon, membakar tayar dan memancarkan cahaya laser bagi mengganggu tidur penduduk Yahudi terbabit.
Bantahan itu diteruskan, semalam, dengan penduduk Beita memancarkan cahaya hijau ke arah kediaman penceroboh terbabit dan mengibarkan bendera Palestin.
Tentera Israel dilaporkan telah membunuh empat rakyat Palestin, termasuk seorang remaja, dalam pergolakan susulan bantahan berkenaan. – AFP