Perak Medical Centre mula operasi PPV hari ini
2 min readIpoh: Pembabitan lebih banyak klinik swasta bagi melaksanakan suntikan vaksin Covid-19 mampu mempercepatkan sasaran mencapai imuniti kelompok.
Pengarah Urusan Perak Medical Centre (PMC) Sdn Bhd Dr K Supramaniam berkata, ini terbukti apabila perjalanan proses suntikan itu di klinik berkenaan dan beberapa klinik lain di negeri ini berjalan lancar selain mengambil masa pantas.
Katanya, usaha itu juga dapat membantu kerajaan bagi menampung jumlah orang ramai yang mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera.
“Kita kena divaksinasi secepat mungkin. Jika lebih banyak klinik terbabit dengan program vaksinasi ini, lebih ramai orang akan tampil untuk menerima vaksin.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja tidak dapat menampung beban bilangan individu yang perlu divaksinasi dan dengan kerjasama bersama klinik swasta, ia meningkatkan kadar vaksinasi,” katanya hari ini.
Klinik berkenaan yang terletak di Jalan Tun Sambanthan di sini, beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bermula hari ini.
Beliau berkata, PMC adalah antara klinik terawal di negeri ini yang terbabit dalam pelaksanaan program vaksinasi berkenaan.
“Bagi fasa permulaan hari ini, kita terima 18 individu yang ditetapkan oleh KKM melalui aplikasi MySejahtera.
“Kita harap jumlah ini meningkat, kita sasarkan 54 penerima dalam minggu ini,” katanya.
Sementara itu, penerima vaksin dari Sungai Siput, Zaharah Mat Derus, 80, berkata, dia tidak gentar untuk menerima suntikan berkenaan kerana sudah biasa disuntik.
“Opah hanya fikir, kalau cucuk (suntik) ini bukannya kita terus mati, kita nak hilangkan dan jauhkan penyakit yang datang merebak.
“Jadi dengar nasihat, semua jangan takut-takut nak kena cucuk, tiada apa-apapun,” katanya.
Manakala Nurul Atikah Yusof, 26, yang membawa neneknya, Salbiah Giman, 81, untuk menerima suntikan di klinik sama turut mengakui perjalanan proses suntikan yang sangat mudah dan cepat.
“Mudah sangat, saya baru daftarkan untuk nenek minggu lalu dan pada Ahad, sudah terima maklum balas.
“Proses suntikan juga sangat cepat, ia hanya mengambil masa kira-kira 10 minit saja,” katanya.
Sumber : Harian Metro