Berita

Permohonan penangguhan bayaran pinjaman PTPTN dibuka esok

1 min read

Kuala Lumpur: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang terkesan dengan situasi semasa akibat pandemik Covid-19 boleh memohon penangguhan bayaran balik pinjaman mulai esok.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman selama tiga bulan akan bermula daripada bulan permohonan diluluskan.

Katanya, permohonan boleh dikemukakan melalui portal rasmi PTPTN mulai esok hingga 31 Ogos ini.

“Keputusan ini diambil kerana kerajaan prihatin dan menyedari ada peminjam PTPTN yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19 dan belum berupaya membuat bayaran balik pinjaman.

“Diharapkan pengumuman ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung peminjam PTPTN.

“Butiran lanjut berkenaan pelaksanaan penangguhan bayaran balik pinjaman ini akan diperincikan PTPTN,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sebelum ini, kerajaan menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN mulai 19 Mac hingga 31 Disember lalu kepada semua peminjam PTPTN serta penangguhan khas bayaran balik kepada peminjam PTPTN yang terkesan selama tiga bulan antara Januari hingga Mei 2021.

Sebarang pertanyaan lanjut, peminjam boleh menghubungi Careline PTPTN di talian 03-2193 3000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat dari 9 pagi hingga 5 petang.

Sumber : Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. Manjungfm.com | Newsphere by AF themes.