Polis nafi tular kompaun kerana tidak pakai pelitup muka untuk minum air
2 min readIPOH – Polis Kerian menafikan dakwaan tular kononnya dua remaja lelaki yang dikenakan kompaun RM1,000 adalah disebabkan tidak memakai pelitup muka untuk minum air di Taman Wawasan di Parit Buntar, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat sebaliknya berkata, kompaun itu dikeluarkan setelah mendapati dua remaja berusia 17 dan 18 tahun itu tidak memakai pelitup muka sambil berbual dengan mengadap satu sama lain.
Katanya, tindakan ke atas mereka juga hanya diambil setelah pemerhatian selama 10 minit dilakukan anggota bertugas.
“Semasa rondaan Op Cegah Jenayah/Op Covid-19 SOP PKPB Parit Buntar di jalankan di kawasan berkenaan pada pukul 12 tengah hari, pihak polis telah ternampak dua lelaki duduk di atas motosikal masing-masing sambil berbual mengadap satu sama lain.
“Kedua-dua mereka didapati tidak memakai pelitup muka walaupun selepas pemerhatian dijalankan dalam tempoh 10 minit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mazuki berkata, seorang pegawai polis kemudiannya menghampiri remaja terbabit dan memperkenalkan diri sebelum menjelaskan kesalahan yang telah dilakukan mereka.
Katanya, kedua-dua remaja itu dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian untuk tindakan kompaun kerana melanggar Peraturan 10 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Sebelum tindakan kompaun diambil, kita telah membuat pemerhatian lebih kurang 10 minit di tempat tersebut.
“Malah, di dalam gambar dan video yang diambil juga jelas menunjukkan kedua-dua remaja itu bukan sahaja tidak memakai pelitup muka malah tidak mematuhi penjarakan sosial iaitu satu meter,” katanya.
Menerusi laporan akhbar berbahasa Cina, dua remaja itu masing-masing dikenakan kompaun kononnya atas kesalahan tidak memakai pelitup muka ketika mahu minum air.
Laporan itu yang tular selepas dipetik beberapa portal mendapat reaksi pelbagai daripada wargamaya yang rata-rata mengecam tindakan pihak berkuasa.-K!ONLINE