Berita

Polis siasat punca kematian suspek tetak kepala anak saudara

2 min read

SHAH ALAM: Suspek yang ditangkap selepas menetak kepala anak saudaranya sehingga mati di Kampung Parit Mahang, Jeram, Kuala Selangor dilaporkan meninggal dunia di Hospital Tanjung Karang petang semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, suspek berusia 27 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk siasatan lanjut namun didapati berada dalam keadaan amat lemah pada pukul 4 petang.

Katanya, pihak polis bertindak menghubungi hospital dan suspek dibawa ke Hospital Tanjung Karang menggunakan ambulans sebelum dia dilaporkan meninggal dunia pukul 6.37 petang hari yang sama.

Ujarnya, keluarga si mati telah membuat laporan polis agar siasatan dibuat bagi tujuan mendapatkan punca sebenar kematian suspek.

“Bedah siasat akan dijalankan dengan segera selepas pihak hospital mendapatkan ujian saringan Covid-19 terhadap jenazah.

“Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor membuka kertas siasatan dan ditumpukan kepada aspek prosedur operasi standard (SOP) Duty of Care dan kelakuan jenayah semasa mengurus suspek,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Arjunaidi memberitahu, suspek ditahan oleh ahli keluarganya selepas berlaku pergaduhan keluarga di Kampung Parit Mahang, Jeram pada pukul 12.25 tengah hari semalam.

Ujarnya, pergaduhan itu mengakibatkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia 1 tahun 8 bulan akibat ditetak oleh bapa saudaranya di bahagian kepala.

“Pergaduhan ini melibatkan sesama ahli keluarga yang berpunca daripada isu kewangan.

“Ibu kanak-kanak terbabit turut mengalami kecederaan. Polis turut merampas sebilah parang panjang di lokasi kejadian,” jelasnya.

Menurut beliau, semasa tangkapan semula dilakukan oleh pihak polis, mereka mendapati suspek mengalami kecederaan.

“Kita percaya kecederaan itu dipercayai akibat pergelutan antara ahli keluarga dalam usaha untuk membuat tangkapan terhadap suspek,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. Manjungfm.com | Newsphere by AF themes.