PUTRA gesa SPRM sisasat jualan ladang harga rendah
2 min readIPOH – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Perak menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat penjualan ladang milik anak syarikat kerajaan negeri di Palembang, Indonesia yang didakwa mempunyai unsur salah guna kuasa berikutan dijual pada harga rendah.
Pengerusinya, Datuk Hamidah Osman mendakwa, 60 peratus saham Ladang PT Pinang Witmas Sejati (PWS) milik syarikat Ladang Lekir Sdn Bhd (LLSB) iaitu anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) dibeli oleh Syarikat Taiko Plantation dengan harga RM342 juta.
Menurutnya, nilai itu rendah berbanding nilai sebenar ladang yang dianggarkan berjumlah RM1.03 bilion bagi keseluruhan kawasan seluas 15,000 hektar itu.
“Saya mendapat maklumat dan dokumen yang menunjukkan usaha penjualan PWS kepada Syarikat Taiko Plantation dan syarikat itu menerusi kenyataan di Bursa Malaysia 20 April lalu mengesahkan Kuala Lumpur Kepong Berhad membeli 60 peratus pemilikan saham itu pada harga tersebut.
“Dengan pembelian itu, LLSB hanya mempersetujui 35 peratus sahaja nilainya berbanding nilai keseluruhan RM1.03 billion. Jadi kenapa kerajaan negeri menjual pada harga satu pertiga sahaja?” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di SPRM Perak di Meru Raya di sini hari ini.
Hamidah berkata, penjualan itu turut dibantah rakan kongsi LLSB iaitu PT Trimitra Sumberbuana kerana tidak sesuai dengan keadaan ekonomi semasa ekoran penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
“Penjualan ladang itu dilihat sebagai satu langkah terburu-buru berikutan ladang tersebut menghasilkan pendapatan bersih hingga RM25 juta sejak 10 tahun lalu sekali gus mampu menyelesaikan kos pengurusan PPPNP.
“Justeru, SPRM wajar siasat perkara ini yang dipercayai mempunyai unsur salah guna kuasa atau suapan. Perkara ini perlu disiasat lebih serius,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad mengesahkan menerima laporan tersebut.
Sinar Harian pada Julai 2019 pernah melaporkan desakan agar kerajaan Perak tidak menjual PWS secara rundingan terus selain mengambil kira nasib pekerja-pekerja PPPNP berikutan pembayaran gaji bergantung kepada hasil pendapatan ladang tersebut.
Baca :
https://www.sinarharian.com.my/article/106034/EDISI/Perak/Putra-gesa-SPRM-siasat-jualan-ladang-harga-rendah