Tikam menikam Trump,Biden menjelang 12 hari pemilihan Presiden
3 min readNASHVILLE: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan pencabarnya, Joe Biden, saling tuduh menuduh bertukar ‘serangan’ menjelang 12 hari sebelum pemilihan presiden.
Isu daripada tuduhan rasuah sehingga pengendalian wabak pandemik COVID-19 dalam debat terakhir semalam berakhir tanpa petanda jelas siapa yang mempunyai kelebihan.
Namun, perdebatan itu menjadi peluang besar yang terakhir bagi Trump untuk mengubah naratifnya dan ternyata ia tidak dipersiakan.
Debat yang berlangsung di Nashville, Tennesse itu memperlihatkan Trump lebih beradab berbanding pusingan pertama debat pada bulan lalu, di mana beliau lebih membuang masa dengan menjerit di hadapan Biden.
Pada pusingan kali ini, Trump memanggil lawannya dari Demokrat ‘Joe’, malah memuji pengantara, Kristen Welkem, dari NBC News dengan berkata: “saya sangat menghormati cara anda mengendalikan debat, setakat ini”.
Kata Trump, beliau akan ‘merosakkan’ Biden dengan terus melemparkan tuduhan serius apabila membabitkan anaknya, Hunter, yang dikaitkan dengan rasuah di China dan Ukraine ketika Biden bergelar Naib Presiden di bawah Barrack Obama.
Trump, 74, cuba membangkitkan isu itu berulang kali sambil berkata terdapat tuduhan ‘memalukan’, dengan meletakkan Biden, 77, sebagai tumpuan dan mendakwa pemimpin demokrat itu berhutang penjelasan kepada rakyat AS.
Biden membalas serangan itu dengan mengatakan bahawa tiada masalah dilakukan keluarganya dan tuduhan itu direka oleh Trump, walhal beliau memiliki akaun bank di China dan gagal menerbitkan penyata cukai di AS.
“Apa yang mereka tahu adalah anda tidak membayar cukai atau anda membayar cukai yang sangat rendah,” katanya merujuk kepada laporan kebocoran data cukai menunjukkan Trump hanya membayar cukai pendapatan persekutuan AS$750 (RM3,111) beberapa tahun lalu.
‘Senjata’ paling berat Biden sepanjang kempennya menentang Trump adalah kritikan terhadap presiden itu dalam menangani krisis COVID-19 yang kini sudah menjangkiti 8,657,958 orang termasuk 228,318 kematian di AS.
Beliau memberi amaran bahawa ‘musim sejuk yang gelap’ akan datang kerana wabak virus itu dijangka merebak dengan lebih cepat.
“Lebih 220,000 rakyat AS mati, sekiranya anda tidak mahu mendengar apa yang saya katakan malam ini, maka dengarlah sekarang, sesiapa yang bertanggungjawab atas begitu banyak kematian tidak boleh kekal sebagai presiden AS,” katanya.
Trump, yang dirawat di hospital kerana dijangkiti COVID-19 awal bulan ini dan sudah pulih, membalas ‘serangan’ itu dengan komitmennya untuk membuka semula AS secepat mungkin walaupun pakar perubatan memberi amaran sebaliknya.
“Kami hanya menunggu giliran, walaupun kini tersepit, kita akan keluar kerana sudah mempunyai vaksin, sudah siap dan akan diumumkan dalam beberapa minggu,” katanya.
Kes jangkitan COVID-19 di AS semakin meningkat secara mendadak dan berdasarkan tinjauan Universiti Quinnipiac semalam, hampir enam daripada sepuluh orang berpendapat bahawa COVID-19 tidak terkawal di AS.
Selain itu, Trump dan Biden juga ‘bercakaran’ mengenai hubungan pemimpin AS dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.
Menurut Trump, selaku presiden AS, beliau perlu menjaga keamanan di semenanjung Korea selepas Biden dan Obama meninggalkan ‘kekacauan’ dan ancaman ‘perang nuklear’.
Sementara itu, Biden berkata Trump menganggap pemimpin Korea Utara yang bersikap seperti samseng itu sebagai teman baiknya.
“Ini seolah-olah mengatakan bahawa kita mempunyai hubungan baik dengan Hitler sebelum dia menyerang Eropah, seluruh Eropah,” katanya.
Sementara itu, pakar debat presiden dari Universiti Michigan, Aaron Kall, berkata kedua-dua calon jelas sudah belajar daripada pengalaman dan mengambil iktibar penting daripada perdebatan sulung yang kurang mendapat sambutan.
“Tetapi dengan hanya 12 hari hingga pilihan raya dan puluhan juta rakyat AS mengundi awal, mungkin terlambat untuk mengubah keputusan pilihan raya akan datang,” katanya.
Berdasarkan tinjauan dilakukan Universiti Quinnipiac, Biden dijangka memperoleh undi sebanyak 51 peratus berbanding 41 peratus bagi Trump. – AFP
baca : https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2020/10/745324/trump-biden-saling-bertukar-tuduhan-ketika-berdebat
credit pic: toledoblade