Trump bersedia kembali bekerja
1 min readWASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang sedang menjalani kuarantin kendiri menyatakan dalam ciapan videonya di Twitternya bahawa beliau sihat dan akan kembali bekerja tidak lama lagi.
Agensi berita Sputnik melaporkan Trump yang dilihat duduk di hadapan meja dengan berlatar belakang bendera AS mengucapkan terima kasih kepada doktor dan petugas perubatan profesional di Pusat Perubatan Tentera Nasional Walter Reed di Maryland.
“Saya datang ke sini dengan rasa tidak sihat, kini saya berasa lebih baik, mereka berusaha keras untuk saya kembali sihat.
“Saya akan kembali semula (bekerja) dan tidak sabar untuk menyelesaikan kempen. Kita akan mengalahkan COVID-19 ini atau apa sahaja anda gelar.
“Selama beberapa hari berikutnya ini, saya rasa ia adalah ujian yang sebenarnya, jadi kita akan lihat apa yang berlaku dalam beberapa hari ini,” kata Trump.
Trump juga berkata, beliau diminta untuk berada di Rumah Putih ketika wabak pandemik melanda namun enggan berbuat demikian dan berkata sebagai pemimpin ia adalah tugasnya untuk berhadapan dengan masalah.
Selain itu, beliau berkata, isterinya Melania turut semakin sihat kerana wanita itu lebih muda dan hanya mengalami gejala COVID-19 yang lebih ringan.
“Saya juga dalam keadaan baik dan berasa kita akan mendapat hasil yang sangat baik. Bagaimanapun kita dapat kepastian selepas beberapa hari lagi,” katanya.
Jumaat lalu, Trump menerusi ciapan di Twitter mengesahkan beliau dan isteri positif COVID-19. – AGENSI
sumber : https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2020/10/738261/trump-bersedia-kembali-bekerja